UCAPAN DASAR
PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH
(PBS)
YB DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN KITINGAN SEMPENA PERHIMPUNAN
AGUNG TAHUNAN PARTI BERSATU SABAH (PBS) KE-24
PADA 7HB HINGGA 9HB NOVEMBER 2009
DI HONGKOD KOISAAN, PENAMPANG
PENGENALAN
- Salam Bersatu dan Salam 1Malaysia. Pertama sekali saya
ingin memanjatkan pujian dan ucapan syukur kepada Tuhan yang Maha Kuasa
kerana kebaikan dan kemurahanNya maka pada tahun ini PBS mencapai umur
ke-24 tahun. Sepanjang 24 tahun ini, sering kali saya di sedarkan bahawa
hanya kerana usaha gigih dan kasih Tuhan sahajalah kita dapat sampai di
sini.
- Saya insaf bahawa sebagai manusia kita dapat merancang
banyak perkara yang besar, perkara yang indah dan mengkagumkan untuk
parti, untuk rakyat, untuk Sabah dan untuk Malaysia. Namun hanya dengan
usaha gigih kita semata-mata, kita cenderung menempuh kegagalan.
Sesungguhnya kita memerlukan ‘divine intervention’ untuk merealisasikan
setiap perancangan yang bermakna dan berfaedah itu. Tanpa Tuhan sia-sialah
usaha kita.
- Terima kasih atas kehadiran para perwakilan dari setiap
kawasan serta sokongan kental dan berterusan pemimpin-pemimpin serta
perwakilan parti. Sesungguhnya sokongan saudara saudari sekalianlah yang
telah membolehkan parti kita wujud dan mencapai umur 24 tahun pada tahun
ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
sidang perwakilan sekalian;
- Dalam dunia 24 jam merupakan masa dalam sehari. Orang
yang bijaksana dan mempunyai matlamat hidup akan
duduk dan membuat renungan (reflection) dan penilaian diri mengenai
bagaimana dia telah menggunakan waktu sepanjang hari tersebut. Apakah dia
telah mengisi setiap waktu yang telah berlalu itu dengan betul dan
bermakna?
- Sekiranya tidak dia akan
berfikir mengenai apakah lagi yang perlu dilakukan, apakah pembaikan yang
perlu dibuat, dia akan merancang bagaimana supaya hari yang baru yang akan
menjelang tiba tidak akan sama seperti hari yang telah berlalu. Semua yang
dilakukannya adalah fokus dan terarah kepada satu tujuan yakni mencapai
visi yang menjadi impian hidupnya.
- Dalam dunia pembelajaran, umur 24 tahun ini lazimnya
adalah umur di mana seseorang itu dianugerahkan ijazah pertama (sarjana
muda/bachelor degree) di menara gading setelah bertungkus lumus belajar
selama 3 hingga 4 tahun. Penganugerahan ini tidak bermakna berakhir sudah
perjalanannya tetapi ia merupakan satu peralihan
(transition) memasuki satu perjalanan yang baru yakni alam kerjaya yang
lebih mencabar tetapi penuh bermakna dan memuaskan. Walaupun demikian,
ianya hanya akan menjadi suatu kenyataan dan
kejayaan yang besar sekiranya disaluti dengan visi dan matlamat yang
jelas, perancangan, disiplin, ketekunan, ketabahan dan kesabaran.
- Dalam PBS kita juga telah mencapai umur 24 tahun.
Syukur sekali lagi kepada Tuhan. Umur 24 tahun adalah ’milestone’
yang bermakna dan bersejarah bagi rakyat Malaysia di Sabah. Sepanjang ingatan
saya tidak ada satu parti tempatan sebelum PBS yang berjaya mencapai umur
ini dan masih berdiri dengan gagah dan mendapat tempat yang istimewa di
hati rakyat di negeri Sabah.
Kebanyakannya kecundang diperjalanan, dibuang dan dilupakan oleh rakyat. Kita
adalah yang paling dewasa dan semestinya lebih matang.
- Kitalah peneraju, kitalah barisan hadapan. Tetapi
apakah maknanya untuk kita ahli-ahli Parti Bersatu Sabah? Apakah ini akhir
satu perjalanan? Apakah kita berpuas hati dan mula pekak dan leka dalam
keselesaan kita? Atau perlukah kita duduk dan merenungkan masa lalu kita
supaya kita dapat menilai kekuatan dan kelemahan kita, kelebihan dan
kekurangan kita agar dapat kita menggarap dan mencorak strategi baru yang
lebih tajam dan berkesan bagi menghadapi perjuangan yang lebih mencabar di
masa depan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
para perwakilan sekalian;
- Kedewasaan tidak bermakna sekiranya tidak disertai
dengan kematangan. Saya percaya Kongres kali ini adalah waktu untuk kita
menilai apa yang telah kita lalui, apakah yang
bakal kita lalui dan seterusnya apakah yang perlu kita lakukan demi
memastikan parti kita terus menjadi relevan selaras dengan kehendak rakyat
Sabah. Sesungguhnya perjalanan kita
selama 24 tahun ini bukanlah perjalanan yang enak dan nikmat semata-mata
tetapi bukan juga satu perjalanan yang muram dan suram tetapi merupakan
satu perjalanan yang berwarna-warni.
- Diwarnai dengan suka duka, airmata dan senyuman,
kesetiaan dan pengkhianatan, kealpaan dan kebijaksanaan. PBS telah
mencapai tahap sebuah parti yang dapat menjadi medan
pembelajaran dan pengamalan ilmu berpolitik yang berkesan. Kita kaya
dengan pengalaman. Kita dipimpin oleh para pemimpin yang teruji dan tahan
lasak. Kita dianggotai oleh ahli-ahli yang terbukti kesetiaannya.
- Marilah kita terus memainkan peranan kita kerana
sesungguhnya kita bukanlah yang terkecil dan terkebelakang di dalam
politik Sabah bahkan kita boleh berbangga menjadi parti tertua dari Sabah yang masih wujud dan aktif. Ahli-ahli parti
mesti mula menjadi pencetus idea dan bukan sekadar penerima idea.
Ahli-ahli parti mesti mula menjadi penggerak kepada perubahan dan bukan
sekadar penerima perubahan, ahli-ahli parti mesti mula menjadi penunjuk
arah dan bukan sekadar menjadi pengikut dibelakang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
yang dihormati;
- Kita perlu bangkit dan bersinar di tengah-tengah
masyarakat negeri Sabah dan Malaysia. Kita boleh, PBS
boleh. Apabila kita menterjemahkan peranan dan penglibatan kita dalam
amalan dan tindakan dalam konteks negeri Sabah dan Malaysia
ini bermakna PBS adalah jentera dan kenderaan kita.
- Kita tidak perlu malu, kita tidak perlu segan,
kita tidak perlu rendah diri kerana PBS adalah sebuah jentera, sebuah
kenderaan yang terbukti unggul dan boleh dipercayai. Di dalam PBS kita akan pasti sampai ke destinasi tujuan kita bersama.
Tetapi kita juga tidak boleh angkuh, bongkak dan sombong sehingga kita
mencipta jurang yang boleh memisahkan kita daripada rakyat jelata.
- Pemisahan sedemikian mengundang banyak implikasi
negatif kepada parti dan ahli-ahli parti. Kita perlu selalu ingat bahawa
ada orang di luar sana yang memerlukan kita.
Mereka memperhatikan kita, menilai tindak tanduk kita, menunggu kita
menghulurkan tangan untuk membantu mereka keluar daripada keperitan dan
masuk ke dalam kehidupan yang lebih baik.
PERJUANGAN PBS
- Kalau kita semakin jauh daripada mereka, kita
menjadi tidak relevan dan tidak bermakna bagi mereka lagi. Akhirnya kita akan dipinggir dan dilupakan. Kita mesti ingat bahawa perjuangan
kita adalah perjuangan rakyat, perjuangan parti adalah untuk kesejahteraan
dan kemakmuran rakyat. Jadi gunakanlah PBS sebagai saluran untuk
melibatkan diri dan mengambil bahagian dalam pembentukan dasar dan program
pembangunan di peringkat Nasional dan negeri Sabah.
Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian;
- Sekadar satu imbasan kepada kita semua, pada
kesempatan ini suka saya menyebut kembali visi dan misi perjuangan PBS
agar ianya kembali segar dalam ingatan dan
sanubari kita semua, juga pada masa yang sama dapat kita menilai sejauh
mana pencapaian kita selama ini.
- Misi perjuangan PBS antaranya ialah untuk
memperjuangkan demokrasi dan berwawasan untuk membina negeri Sabah yang maju, harmoni dan bersatu melalui proses
demokrasi berparlimen yang tulen. Kita juga berusaha untuk menjaga hak-hak
dan kuasa autonomi Sabah, hak asasi
manusia dan menegakkan keadilan. Selain daripada itu, kita turut
memperjuangkan hak-hak istimewa kaum Bumiputera dan kepentingan kaum lain,
memelihara budaya tradisional setiap kaum di Sabah
serta kebebasan beragama di Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
para perwakilan sekalian;
GAGASAN 1MALAYSIA
- Di bawah kepimpinan yang baru, kita telah
dilontarkan dengan satu wawasan, satu impian yang baru yakni Gagasan
1Malaysia. Konsep 1Malaysia ini telah diilhamkan oleh YAB Dato’ Sri Najib
Tun Razak yang kita kasihi dan hormati. Ia
merupakan satu gagasan yang berani, strategik dan tepat pada masanya.
Gagasan ini amat dekat di hati saya kerana ia
mengingatkan saya kepada apa yang diperjuangkan oleh PBS semenjak
penubuhannya pada tahun 1985. Konsep ini sememangnya relevan dan seiring
dengan hasrat Kerajaan Malaysia
untuk mewujudkan satu bangsa dan Negara yang aman, damai, bersatu padu dan
maju.
- Justeru, saya yakin bahawa konsep 1Malaysia ini
adalah satu pendekatan yang tepat dan terbaik untuk memastikan aspirasi
Negara iaitu Wawasan 2020 dapat direalisasikan. Saya memberi jaminan bahawa
PBS akan terus menyokong hasrat murni Kerajaan
dalam perlaksanaan konsep 1Malaysia di mana “rakyat didahulukan,
pencapaian diutamakan”.
- Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia
ini, adalah merupakan satu cabaran untuk menyatupadukan rakyat. Sebelum
ini memang kita telah berada pada landasan perpaduan yang betul namun
pengenalan kepada konsep 1Malaysia ini telah melonjakkan kita ke satu
tahap yang lebih tinggi dalam sejarah pembinaan bangsa Malaysia
yang tulen.
- Apakah ertinya semua ini? Kenyataan rakyat di
dahulukan, prestasi diutamakan. Rakyat di sini pada hemah saya adalah
merujuk kepada bangsa Malaysia bukan bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa
India, bangsa Kadazandusun atau Iban tetapi ia merujuk kepada Bangsa
Malaysia.
- Bangsa Malaysia
adalah warganegara Malaysia
yang bermastautin dengan sah di negara ini tanpa mengira keturunan, latarbelakang
dan agamanya. Satu haluan, satu tujuan dan satu identiti nasional namun
dalam masa yang sama keunikan setiap kaum ini
dihargai, dikekalkan serta dipertahankan. Inilah Bangsa Malaysia.
Inilah yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri kita yakni mendahulukan
rakyat Malaysia.
Ini bermaksud tiada satu kaum yang dahulukan dan tiada satu kaum yang
dibelakangkan.
- Tiada satu negeri diutamakan dan negeri lain diketepikan mengikut prinsip keadilan. Sementara
itu, para pemimpin yang diangkat oleh Bangsa Malaysia
ini, perlulah sedar bahawa mereka berada di tempat itu bukan untuk
mendahulukan diri mereka atau kaum mereka sahaja tetapi untuk rakyat yakni
Bangsa Malaysia.
Memang sudah tiba masanya kita melihat kaum-kaum di Malaysia ini sebagai
Bangsa Malaysia.
- Rakyat yang memerlukan pertolongan perlu
dibantu, negeri yang memerlukan pembangunan perlu dibangunkan tanpa
melihat perbezaan dan kepelbagaian yang wujud. Kriteria pembangunan, kriteria
pelantikan, kriteria penganugerahan bila sahaja dan di mana sahaja tidak
boleh lagi berasaskan kepada agenda kaum, kepercayaan dan agama, warna
kulit, bahasa atau pelbagai perbezaan yang lain yang boleh menyebabkan
diskriminasi tetapi haruslah berasaskan keperluan dan merit.
Tuan-tuan dan puan-puan
yang hormati;
- Persoalannya apakah aspek yang perlu didahulukan
untuk rakyat itu? Sebagai sebuah parti dari negeri Sabah dan sebagai
pemimpin rakyat di negeri ini sudah tentulah saya akan
melihat semua aspek yang perlu didahului itu berdasarkan kacamata negeri Sabah. Saya tidak mahu mentafsir atau bercakap untuk
negeri lain walaupun perjuangan kita untuk
pembangunan dan keadilan untuk semua lapisan masyarakat di negara ini.
Saya sedar setiap individu, setiap negeri mempunyai keperluan yang mungkin
berbeza daripada yang lain.
- Pada hemah saya negeri Sabah ini masih dalam
golongan negeri yang mundur di Malaysia. Rakyatnya masih
banyak yang hidup dalam keadaan kemiskinan, kemudahan asas dan
infrastrukturnya jauh daripada memuaskan, peluang pekerjaan dan
pendapatannya juga masih rendah. Daripada aspek pendidikan pula, anak-anak
kita masih banyak yang tercicir daripada pendidikan formal kerana
kedudukan atau jarak sekolah yang jauh dan ditambah dengan kekurangan
kemudahan jalan raya yang baik. Kemudahan kesihatan juga masih belum
mencukupi.
- Sekolah-sekolah yang ada khususnya di kawasan
pedalaman masih berada dalam keadaan yang serba kekurangan, tidak lengkap
dan daif. Keadaan ini menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan
sudah tentulah mendatangkan kesan yang tidak baik kepada pencapaian para
pelajar.
- Daripada segi sosial dan keselamatan pula, kita
masih dihantui oleh masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang
berkeliaran secara terbuka di negeri kita. Kebanyakan mereka ini membawa
bersama mereka pelbagai amalan dan budaya sosial yang buruk seperti
menagih dadah, mencuri, merompak, dan pelbagai pelanggaran undang-undang
yang lain.
- Kepincangan sosial yang lain
seperti penyakit dan budak-budak jalanan (street children) dan pengemis
juga meningkat hasil bawaan para pendatang asing tanpa izin ini. Keadaan
ini amat memalukan dan merosakkan imej negeri Sabah khususnya di kalangan
para pelancong asing yang datang ke Sabah.
- Di satu segi kita melaburkan begitu banyak wang
untuk mempromosikan Sabah sebagai
destinasi pelancongan tetapi daripada segi yang lain
terdapat masalah-masalah sosial yang tidak ditangani menjadi perosak imej
kita. Para pendatang tanpa izin ini juga
digunapakai oleh golongan tertentu untuk kepentingan dan agenda politik
mereka. Pada dasarnya pendatang tanpa izin ini sekiranya tidak ditangani segera
akan mengancam keselamatan negara khususnya di
negeri Sabah ini.
Sidang perwakilan
sekalian;
- Sebagai pemimpin-pemimpin yang sayangkan negeri
ini, kita melihat inilah antara aspek-aspek yang perlu didahulukan
(diselesaikan). Saya percaya rakyat negeri Sabah
mengimpikan cahaya lampu letrik terang benderang menerangi kegelapan malam
di kampung-kampung dari utara sampai ke selatan dari timur ke sampai ke
barat. Rakyat Sabah mengimpikan minum dan mandi air bersih daripada
bekalan air paip.
- Rakyat Sabah mengimpikan lebuhraya berkembar
menghubungkan bandar-bandar seluruh Sabah,
jalan berturap menghubungkan kampung-kampung tidak kira berapa jauh di
pedalaman. Rakyat Sabah mengimpikan anak-anak kita bersekolah di sekolah
yang serba lengkap yang boleh mewujudkan suasana pengajaran dan
pembelajaran yang kondusif dan merangsang minda.
- Rakyat Sabah mengimpikan agar anak-anak kita
bukan sekadar tahu membaca, mengira dan menulis tetapi berpendidikan dan
berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang ilmu dan pengetahuan. Saya yakin
dan percaya di bawah kepimpinan baru yang diterajui oleh YAB Perdana
Menteri Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, sesungguhnya harapan kita kian
menjadi kenyataan.
BIDANG KEBERHASILAN
UTAMA NEGARA (NKRA) DAN PENGUKUR PRESTASI PENCAPAIAN (KPI -KEY PERFORMANCE
INDEX)
- Di bawah pentadbiran YAB Dato’ Sri Najib Tun
Razak, beliau telah menggariskan matlamat-matlamat
tertentu yang akan diberi perhatian khusus sejajar dengan gagasan
1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Enam bidang
keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah merupakan salah satu langkah
penting dalam agenda inovasi bagi melonjakkan negara ke tahap ekonomi
berpendapatan tinggi.
- Saya melihat keenam-enam KRA berkenaan adalah
signifikan dan relevan tetapi sekurang-kurangnya ada empat yang dekat
dengan hati dan perjuangan PBS selama ini dan merupakan keperluan mendesak
bagi negeri Sabah. Keempat-empat KRA
tersebut termasuklah 1. Meluaskan akses kepada
pendidikan berkualiti dan berkemampuan, 2. Memperkasa prasarana
luar bandar dan pedalaman (air, jalanraya, elektrik), 3. Meningkatkan
taraf hidup rakyat berpendapatan rendah (pembasmian kemiskinan tegar dan
penyediaan perumahan PBR) dan 4. Mengurangkan kadar
jenayah yang ada kaitan terus dengan perihal Pendatang Asing Tanpa Izin
(PATI).
- PBS amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas
keprihatinan beliau kepada isu-isu berkenaan. Kepimpinan tertinggi negara
masa kini telah menetapkan matlamat dan langkah-langkah umum untuk
mencapai matlamat tersebut. Ini merupakan ruang dan peluang bagi kita di
negeri Sabah untuk merealisasikan
matlamat kita selama ini. Saya melihat bidang keberhasilan utama negara
yang telah digariskan adalah merupakan peluang untuk Sabah
mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah-Sarawak dan Semenanjung.
- Penetapan matlamat-matlamat tersebut hanyalah
merupakan langkah awal. Perancangan yang terperinci, kemas dan tepat
perlulah ada. Saya percaya kepimpinan di peringkat negeri Sabah juga telah
bersedia untuk memainkan peranan proaktif
dengan menyediakan satu dokumen rujukan yang boleh dijadikan panduan oleh
kerajaan pusat untuk menilai keperluan-keperluan negeri Sabah
selaras dengan KRA yang telah ditetapkan.
- Dengan adanya dokumen seumpama ini kita juga
dapat mengukur sejauh mana negeri Sabah
telah berjaya memposisikan dirinya dalam arus matlamat pembangunan negara masa
depan. Kita tidak mahu hanya sekadar menjadi pendengar dan penonton yang
bersorak apabila mendengar khabar gembira tetapi tidak turut serta
menikmati kemeriahan dan kenikmatan yang ingin dicapai.
Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian;
- Sekadar mengetahui apa
matlamat pembangunan negara tidak mencukupi. Banyak rakyat kita di
kampung-kampung yang tidak tahu apa itu NKRA atau
apa itu KPI. Tetapi sekiranya kita membawa kemudahan asas kepada mereka,
pendidikan yang berkualiti kepada mereka, keselamatan dan ketenteraman
kepada mereka, pendapatan dan kehidupan yang lebih baik kepada mereka, mereka
akan tahu.
- Oleh yang demikian, melalui wadah dan saluran
yang kita ada, PBS akan terus merayu dan memohon agar kerajaan Persekutuan
di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri terus menyokong agenda pembangunan
Sabah dengan menyediakan peruntukan yang mencukupi dan berterusan.
Tuan-tuan dan puan-puan
yang saya hormati sekalian;
BAJET 2010
- Dalam ucapan Bajet 2010 baru-baru ini, kita amat
bersyukur kerana dalam usaha kerajaan untuk mempastikan masyarakat luar
bandar dapat menikmati kemudahan prasarana yang mencukupi dan berkualiti,
pembangunan luar bandar telah diberi tumpuan. Kerajaan telah
memperuntukkan RM 2.3 billion untuk membina dan menaik taraf infrastruktur
di luar bandar termasuk pembinaan jalan di Kinabatangan, Kota Belud dan
Keningau di Sabah pada tahun hadapan.
- Juga dalam usaha dan komitmen yang sama yakni untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang
berpendapatan rendah kerajaan turut mengambil beberapa langkah yang
diharapkan dapat membantu golongan berpendapatan rendah di luar bandar
serta membantu mengatasi atau membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2010.
- Dalam kenyataan Bajet tersebut, kerajaan
dijangka dapat menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan
pendapatan untuk membantu hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang telah
dikenalpasti (dalam senarai e-kasih). Program-program sedia ada seperti
Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat yang meliputi antara lain Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan
Kemahiran dan Kerjaya, serta Program Kecemerlangan Pendidikan juga masih
diteruskan diutamakan dengan peruntukan yang tinggi.
PROGRAM PEMBANGUNAN
- Kita sememangnya menghargai usaha yang
ditunjukkan oleh pihak kerajaan persekutuan dalam beberapa tahun
kebelakangan ini. Negeri Sabah dan Sarawak secara relatifnya menerima
peruntukan yang lebih besar dan menjadi penerima program-program besar
anjuran kerajaan seperti Koridor Pembangunan Sabah, Agropolitan di Banggi
dan Program Pembasmian Kemiskinan di Semenanjung Bengkoka,
Pitas.
- Namun saya ingin terus berharap agar perhatian
ini berterusan memandangkan keadaan pembangunan fizikal dan ekonomi di
negeri ini masih pada tahap yang rendah. Komitmen ini diperlukan agar
matlamat yang telah ditetapkan bagi negara yakni melonjakkan negara ke
tahap ekonomi berpendapat tinggi juga dapat
dinikmati oleh rakyat di Sabah.
- Sehubungan dengan usaha yang diperjuangkan oleh
Perdana Menteri, kita sedar bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional yang
mampu untuk membela nasib rakyat di Negara ini. Untuk melihat hasil yang
ketara daripada usaha ini, ia memerlukan sokongan
padu daripada semua lapisan masyarakat. Sokongan tersebut lebih lagi
kritikal di peringkat akar umbi. Oleh itu, saya menyeru semua ahli parti
agar terus bersatu dan memberi mandat politik yang berterusan kepada
Barisan Nasional untuk mentadbir Negara ini.
- Rakyat perlu sedar dan jangan mudah terpedaya dengan
taktik dan dakyah pembangkang yang hanya tahu mengkritik kerajaan serta
mengelirukan rakyat. Kita telah memperolehi pengajaran yang cukup baik
semasa berada dalam ’khemah’ pembangkang satu ketika dulu. Kita
sedar bahawa mengikut arus keluarga besar Barisan Nasional adalah pilihan
terbaik untuk menjaga kemakmuran dan kesejahteraan rakyat khususnya di Sabah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
para perwakilan sekalian;
CUTI UMUM 16 SEPTEMBER
- Pengumuman oleh YAB Perdana Menteri mengenai
pengisytiharan 16hb September sebagai hari kelepasan am (cuti umum) mulai
tahun depan sebagai mengingati penubuhan Malaysia merupakan satu titik
sejarah yang penting bagi kita. Pengumuman ini telah lama kita nantikan
(long overdue). Ia adalah satu hadiah yang amat
berharga bagi rakyat Malaysia
khususnya di Sabah dan Sarawak.
- Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Kerajaan Persekutuan yang akhirnya telah memenuhi kehendak rakyat
yang menginginkan pembentukan Malaysia diiktiraf di seluruh
Negara. Meski pun tindakan ini memerlukan putera kepada mantan Perdana
Menteri (Tun Abdul Razak) yang telah menyaksikan pengisytiharaan
pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 untuk bersetuju dan
mengistiharkan 16 September sebagai cuti umum bagi seluruh Malaysia. Namun
‘better late than never’. Pengisytiharaan ini hanya meneguhkan
bukti bahawa kerajaan BN di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun
Razak, Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional amatlah prihatin
terhadap kehendak rakyat.
- PBS adalah antara penyokong terhadap tuntutan ini
sehingga ianya menjadi kenyataan. Saya yakin keputusan yang diambil oleh
Perdana Menteri ini akan meneguhkan lagi impian
dan usaha ke arah mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum dan
wilayah di Negara ini seterusnya merealisasikan Gagasan 1Malaysia.
SEKTOR PERTANIAN
- Kebijaksanaan Perdana Menteri memperuntukkan
dana RM6 billion bagi membiayai pelaksanaan pembangunan sektor pertanian
sepanjang tahun 2010 di seluruh Negara menggambarkan komitmen kerajaan
Barisan Nasional terhadap usaha meningkatkan peranan sektor ini dalam
pembangunan ekonomi terutamanya di kawasan luar bandar.
- Bagi kita di Sabah,
sektor pertanian merupakan penyumbang ekonomi penduduk luar bandar yang sangat
ketara. Sehubungan itu, saya berharap agar prasarana asas seperti sistem
pengairan dan saliran, industri akuakultur, industri pemakanan berasaskan
pertanian, penternakan serta program-program latihan untuk para petani
generasi muda dapat menerima peruntukan secukupnya.
Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian;
- Fenomena kenaikan suhu global seharusnya menjadi
kerisauan kita semua. Kajian menunjukkan bahawa dunia ini semakin panas
dan dengan kadar yang membimbangkan di mana tahun 1998 dan 2005 didapati
sebagai tahun yang paling panas sejak tahun 1850. Dengan pemanasan suhu
dunia, salah satu kerisauan ialah kesannya terhadap pertanian termasuklah
pengeluaran makanan khususnya beras.
- Kenaikan suhu akan
mengakibatkan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau
berpanjangan, ribut, banjir serta kenaikan paras laut yang mana seterusnya
akan memberi kesan kepada tanaman. Kenaikan paras laut akan
mengancam beberapa wilayah pengeluaran beras di Asia seperti Vietnam
yang memainkan peranan dalam sekuriti makanan wilayah dan pasaran eksport.
- Kalau kita masih ingat, masalah kekurangan
bekalan beras di pasaran dunia pada suatu ketika dulu telah sempat
mencemaskan seluruh rakyat Malaysia
termasuk kita semua. Isu tersebut telah menjadi perdebatan hangat di
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada ketika itu. Pakar-pakar ekonomi
dan para sarjana pertanian juga terlibat dalam banyak perbincangan untuk
mencari jalan penyelesaian bagi isu pengeluaran beras Negara yang dianggap
sebagai sebahagian daripada isu ketahanan Negara.
LEMBAGA PADI SABAH
- Oleh yang demikian, kita harus bertindak dari
sekarang untuk mempastikan Negara kita tidak semata-mata bergantung kepada
bekalan beras dari luar. Saya yakin dengan adanya bantuan kerajaan berupa
subsidi seperti pembajakan, input pertanian (iaitu baja dan racun makhluk
perosak) serta subsidi hasil padi para petani masih boleh terus
mengusahakan penanaman padi. Apatah lagi dengan adanya berbagai agensi
seperti Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pengairan dan
Saliran yang telah dipertanggungjawabkan membantu para petani.
- Sehubungan dengan usaha peningkatan pengeluaran
beras dan demi untuk melancarkan penyelarasan pengedaran bantuan kepada
para petani seharusnya satu organisasi khusus ditubuhkan di negeri Sabah. Organisasi ini hendaklah berperanan untuk
menyalurkan segala bentuk subsidi yang disediakan kerajaan dan
menyelaraskan segala program berkaitan penanaman padi seperti jadual
penanaman, penjadualan bekalan air, pembajaan, hinggalah ke peringkat
penuaian dan pemasaran. Agensi tersebut juga hendaklah bertanggungjawab
untuk mengenalpasti kawasan-kawasan baru untuk diterokai.
- Selari dengan penumpuan ke arah pengeluaran
padi, infrastruktur pengairan dan saliran (seperti yang saya sebutkan
tadi) juga harus diberi penekanan oleh kerajaan agar pengurusan dan
penjadualan penanaman akan dapat dilaksanakan
dengan lebih berkesan dan efisien. Saya yakin dengan usaha ini, kapasiti
pengeluaran beras Negeri Sabah yang hanya berkisar sekitar 30% keperluan
tempatan dapat ditingkatkan. Sehubungan itu, PBS menyokong agar satu
agensi yang dipertanggungjawabkan untuk pembangunan sektor padi seperti
Lembaga Padi Sabah pada tahun 1970-an dapat
diwujudkan semula.
Tuan-tuan dan puan-puan,
para perwakilan yang saya hormati;
TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN
KOMUNIKASI (ICT)
- Sepertimana yang kita sedia maklum, sejak tahun
1990an negara kita sudah menetapkan hasrat mencapai status negara maju
menjelang tahun 2020. Sejajar dengan wawasan itu, pelbagai inisiatif telah
diambil oleh kerajaan bagi mempastikan kita mencapai wawasan ini. Langkah
bijak ini adalah untuk mempastikan negara kita tidak hanya menjadi
penonton, tetapi turut memain peranan dalam mencorak agenda dunia.
Pembinaan prasarana bertaraf dunia (world class), baik di bidang pendidikan,
mahupun di bidang-bidang lain seperti pengangkutan, kewangan, teknologi
maklumat, bioteknologi, telekomunikasi dan sebagainya, jelas membuktikan
betapa seriusnya kerajaan dalam hal ini.
- Untuk memastikan bahawa kita tidak ketinggalan di
dalam arus perubahan persekitaran yang pantas, kita perlu bersikap terbuka
dan sedia mendengar idea-idea baru dan menerima perubahan-perubahan ini.
Hari ini, kita hidup di dalam dunia global yang semakin kompetitif dan
tiada sempadan. Kita tidak mempunyai pilihan lain tetapi menerima perubahan-perubahan dan pendekatan-pendekatan
baru dalam sains dan teknologi jika kita mahu untuk terus maju dalam
bidang-bidang yang kita terajui. Kita perlu memainkan peranan
masing-masing dan giat berusaha menguasai bidang-bidang pengetahuan yang
belum dikuasai.
- Dalam era globalisasi dan teknologi maklumat
(IT), Internet merupakan salah satu penyalur pelbagai sumber maklumat
kepada rangkaian komputer di seluruh dunia melalui kemudahan sistem
rangkaian secara terus.
- Kita dapat melihat kesan penggunaan internet
pada Pilihanraya Umum 2008 apabila ramai calon BN telah kecundang dan
kawasan yang tidak pernah difikirkan kalah telah tewas.
Perkara ini jarang berlaku tetapi telah berlaku kerana rakyat kini
mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan
maklumat terkini yang lazimnya tidak diperolehi dari media arus perdana
dan media elektronik seperti radio dan TV.
- Kini ramai individu dan penganalisis mahupun
ahli politik menggunakan internet untuk menyebar maklumat melalui emel,
laman blog, laman web, facebook, twitter dan sebagainya. Walaupun
penggunaan internet memberi banyak faedah kepada ramai pengguna tetapi
dalam masa yang sama terdapat juga
keburukan-keburukan tertentu misalnya penyalahgunaan emel, laman blog atau
laman web untuk menyampaikan mesej dan menabur fitnah terhadap seseorang
individu, pemimpin mahupun kerajaan.
- Oleh itu, timbullah keperluan untuk memantau
aktiviti ini demi menapis tohmahan yang salah, fitnah yang dirancang serta
propaganda politik yang tidak betul. Tujuannya ialah agar pihak kerajaan
khususnya dapat memberikan maklumbalas yang tepat dan membidas
perkara-perkara yang perlu dibidas. Dengan ini, saya mencadangkan agar
satu Jawatankuasa Pemantau di tubuhkan bagi memantau laman blog dan laman web
berkenaan.
Tuan-tuan dan puan-puan
yang dihormati;
- Masa telah berubah. Jika dahulunya hanya
terdapat media massa
tradisional seperti surat
khabar dan televisyen dan digunakan secara meluas oleh pihak Kerajaan
tetapi kini internet dijadikan sebagai landasan (avenue) bagi individu dan
ahli politik untuk mempromosi pandangan dan ideologi mereka.
Maklumat-maklumat termasuk gambar dan video kini dapat disalurkan melalui
emel, laman blog atau laman web.
- Kita juga dapat tahu bahawa penggunaan internet
kini sangat popular terutama sekali di kalangan generasi muda. Golongan
ini lah yang akan meneruskan perjuangan
pemimpin-pemimpin parti kita sekarang. Justeru, adalah sangat penting bagi
kita semua untuk mendampingi golongan muda-mudi ini dan seboleh-bolehnya
menjemput mereka untuk menyertai parti kita. Golongan muda-mudi ini
hendaklah dimaklumkan dengan sejarah perjuangan murni PBS dengan harapan
supaya mereka tidak akan terkeliru dengan retorik
parti pembangkang yang tidak mempunyai arah tuju yang jelas.
- Sejajar dengan penggunaan teknologi maklumat
yang semakin luas ini, laman web telah membuka ruang baru untuk dijadikan
saluran alternatif kepada semua golongan masyarakat. Mujurlah parti kita
telah mewujudkan laman web sejak tahun 1997 lagi. Saya berharap supaya
Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda serta setiap bahagian PBS juga
akan dapat mewujudkan laman web dan laman blog masing-masing untuk
menyebarkan maklumat mengenai organisasi dan akitiviti bahagian mereka
disamping menangkis fitnah-fitnah musuh politik kita. Sebagai makluman
tuan-tuan dan puan-puan sekalian, salinan ucapan dasar ini boleh
diperolehi melalui laman web PBS iaitu www.pbs-sabah.org selepas saja selesai berucap.
Tahun demi tahun kita telah lakukan ini.
- Saya juga berharap supaya penggunaan emel
diantara pejabat bahagian dengan ibu pejabat parti, diantara pejabat
bahagian dengan pejabat bahagian yang lain, diantara pemimpin dengan pemimpin
dapat diperluaskan lagi. Cara komunikasi dua hala antara parti kita dan
masyarakat dalam menyampaikan maklumat dengan mudah dan cepat amatlah
penting. Untuk memudahkan bahagian-bahagian mengambil tindakan seterusnya,
latihan dan bengkel berterusan mengenai dengan teknologi asas ICT,
pewujudan laman web dan laman blog termasuk penggunaan internet dan emel akan diperluaskan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
para perwakilan yang dikasihi;
1PBS
- Selari dengan peranan PBS untuk terus memberi
sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Barisan Nasional
khasnya Perdana Menteri, PBS perlu diperkukuh dan diperkuat serta
dimantapkan dari segi semangat, sokongan dan jenteranya. Dalam usaha ini
Majlis Tertinggi (MT) parti telah memutuskan projek 1PBS 2010
dilaksanakan.
- Projek ini dijangka berlangsung selama 12 bulan
bermula sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung ke-24 ini. Matlamat 1PBS
ialah memperkukuhkan parti dengan pendekatan menambah bilangan ahli secara
mendadak - 1 ahli PBS cari 1 ahli baru - dan usaha ini harus dicapai dalam
tempoh 12 bulan.
- Kita sedar ramai lagi rakyat Malaysia, terutamanya golongan
belia dan beliawanis serta kumpulan profesional, yang belum menjadi ahli
mana-mana parti. Justeru, saya menyeru kepada saudara-saudari sekalian di
semua bahagian termasuk pergerakan pemuda dan wanita supaya bekerjasama
dan berganding bahu untuk menambah ahli-ahli dengan sasaran
sekurang-kurangnya 1 ahli PBS cari 1 ahli baru. Dalam tempoh satu tahun
ini, kita perlu bergerak serta merta sebaik sahaja perhimpunan ini
selesai.
- Dengan penambahan bilangan ahli yang ketara,
maka ianya secara langsung dapat memperkukuhkan PBS dan seterusnya Barisan
Nasional. Kita perlu penglibatan aktif semua ahli baik dalam pembentukan
dasar dan memperkemaskan pentadbiran parti serta peringkat pengubalan
dasar dan program pembangunan Negara melalui jentera Barisan Nasional.
- Untuk mendukung kelancaran program penambahan
ahli ini, jentera pentadbiran di ibu pejabat PBS kini sedang dikemas kini
agar proses menjadi ahli PBS dapat dipercepatkan. Dalam masa yang sama, kad keahlian baru PBS akan diperkenal dan
dikeluarkan sempena ulang tahun ke 25 PBS (Jubli Perak) pada tahun hadapan
iaitu 2010.
- Sayugia dinyatakan di sini bahawa selaras dengan
usaha-usaha penambahan ahli 1PBS 2010 ini, perakuan dan hadiah akan diberi kepada bahagian-bahagian yang cemerlang
dalam misi. Maka itu marilah kita terus bergerak dan berusaha demi
kesinambungan perjuangan PBS seperti kata pepatah Melayu yang ‘tak
lapok dek hujan dan tak lekang dek panas’.
Sidang perwakilan yang
dihormati;
PEMILIHAN DALAM PARTI
- Kestabilan dalam kepimpinan PBS selama 24 tahun adalah
satu sejarah yang boleh kita banggakan. Berbanding dengan parti-parti lain, PBS sebenarnya tidak pernah mengalami masalah
perebutan kuasa yang akhirnya mengakibatkan perpecahan dalam parti. Antara
beberapa sebab mengapa PBS tidak menghadapi masalah ini adalah kerana
pucuk kepimpinan PBS mengamalkan budaya musyawarah dalam membuat sebarang
keputusan.
- Dalam proses ini, segala input, cadangan dan
pandangan ahli-ahli yang berbilang kaum sentiasa diambil kira. Budaya
musyawarah ini akan kita terus amalkan demi
kelangsungan kestabilan parti di masa akan datang.
- Meski pun demikian, ini tidak bermakna PBS tidak
peka terhadap tranformasi. Kita perlu perubahan-perubahan dalaman
parti selaras dengan kehendak-kehendak ahli dan para penyokong parti.
Pergolakan dalaman hendaklah dielakkan dengan memanfaatkan hikmah sebaik
mungkin untuk merancang kesinambungan kepimpinan di semua peringkat baik
di peringkat Majlis Tertinggi; Pergerakan Pemuda dan Wanita; peringkat
bahagian dan cawangan supaya perjuangan parti dapat diteruskan.
- Untuk memenuhi kehendak perlembagaan, maka tahun
ini (2009) adalah tahun pemilihan bagi PBS. Berlandaskan sebuah parti yang
mengamalkan demokrasi, PBS sudah tentunya menggalakkan pertandingan dalam
proses pembentukan barisan kepimpinan parti. Dalam keghairahan menawarkan
diri untuk mengisi jawatan-jawatan parti baik di peringkat Majlis
Tertinggi, Pergerakan Pemuda dan Wanita kita harus patuh dan sentiasa
berpegang kepada prinsip asas perjuangan parti.
- Kita harus sedar bahawa tujuan kita mengadakan
pemilihan ialah untuk memberi ruang kepada para ahli supaya dapat menawarkan
diri untuk memegang dan melaksanakan tanggungjawab terhadap parti dan
bukan semata-mata mendapatkan jawatan-jawatan tertentu sahaja. Kita juga
perlu akur bahawa pertandingan ini adalah sesama ahli-ahli keluarga parti
kita sendiri. Oleh kerana itu kita perlu berusaha untuk mengelakkkan
pergeseran di kalangan ahli-ahli.
- Apa yang penting hasil dari
pemilihan ini adalah untuk kita mendapatkan satu gabungan pemimpin yang
berkaliber, berpengetahuan, mempunyai pengalaman luas, berjiwa rakyat dan
komited terhadap perjuangan parti. Pada kesempatan kali ini, saya
bersandarkan kepada kebijaksanaan para perwakilan sekalian untuk
menentukan barisan tersebut.
Tuan-tuan dan puan-puan,
para perwakilan yang saya hormati;
PENUTUP
80. Untuk mengakhiri
ucapan dasar ini, sekali lagi saya dengan bangga dan berbesar hati mengucapkan
syabas dan tahniah kepada kita semua. Kita telah mampu sampai
ke tahap ini kerana ketahanan dan ketabahan kita terhadap perjuangan yang telah
kita garap selama ini. Pencapaian usia 24 tahun
ini adalah pencapaian kita semua. Saya menyeru kepada kita
semua meneruskan perjuangan ini dengan lebih gigih agar penglibatan kita dalam
pentadbiran di peringkat negeri dan negara terus kukuh dan menyerlah.
Akhir kata hayatilah pantun-pantun berikut:-
Kalau tidak kerana padi
Tidak saya bertani lagi
Kalau tidak kerana saudara saudari
Tidak saya memimpin lagi
Masuk hutan pakai sepatu
Takut kena gigitan pacat
Kalau kita sentiasa bersatu
Semua kerja
mudah dibuat
Memang pedas si buah lada
Makanan orang pergi menebas
Ucapan Dasar sempurna sudah
Bersamalah kita tegakan PBS
Sekian,
terima kasih dan selamat bersidang.
BERSATU
! BERSATU ! BERSATU !