| UCAPAN
DASAR
YB DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN KITINGAN
PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG PBS YANG KE 19
PADA 7HB DISEMBER 2004
DI HONGKOD KOISAAN, PENAMPANG
TERIMA
KASIH SAUDARI PENGERUSI MAJLIS
[
PENGHORMATAN ]
1.
Terlebih dahulu, saya bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa kerana
dengan berkatNya, Perhimpunan Agung PBS yang ke 19 ini dapat kita
adakan.
2. Seterusnya ucapan terima kasih, syabas dan tahniah saya tujukan
kepada Pengerusi Penganjur dan Jawatankuasanya atas usaha dan
kerjasama mereka menjayakan Perhimpunan Agung Tahunan kita ini.
Demikian juga saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ketua-Ketua
Bahagian, para perwakilan dan pemerhati atas ketabahan dan kesungguhan
kamu sekalian meneruskan perjuangan melalui PBS.
3. Saya merasa amat gembira pada Perhimpunan Agung kali ini yang
begitu bersejarah sekali. Inilah satu Perhimpunan Agung di mana
kita, sebagai pemimpin, perwakilan dan ahli dapat berkumpul beramai-ramai
buat pertama kali selepas kita memenangi Pilihanraya Negeri dan
Parlimen baru-baru ini bersama dengan parti-parti komponen BN
yang lain.
4.
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kita semua di
atas kemenangan yang besar dan penting tersebut. Kesemua itu adalah
hasil daripada usaha gigih dan berkat pengorbanan kita semua.
Sesungguhnya kita telah berjaya mendapatkan apa yang kita usahakan
selama ini walaupun perjuangan kita belum selesai.
5.
Bagaimana pun, saya ingin mengingatkan kita semua tentang dinamik
masyarakat di mana berlakunya banyak perubahan-perubahan dalam
persekitaran politik, ekonomi, sosial dan budaya kita. Perubahan
ini sudah tentunya akan mempengaruhi rupabentuk negara kita yang
mana jika ia tidak difahami dan ditangani dengan baik, akan dapat
menjejaskan masa depan kita.
Kestabilan Politik Dan Perpaduan Rakyat
Tuan
Tuan dan Puan Puan yang saya hormati sekalian,
6.
Kita, di Malaysia amat bersyukur kerana semua rakyat yang berbilang
kaum, budaya dan kepercayaan dapat hidup bersama dalam suasana
yang aman damai, bertoleransi, makmur, stabil dan bersatu padu.
Hakikat bahawa semua ini wujud dengan kukuhnya di Sabah meningkatkan
lagi semangat patriotisme kita untuk terus mempertahankannya.
Kita sedar bahawa kestabilan politik dan perpaduan rakyat di Malaysia
ini bukanlah dicapai dengan mudah dan dalam masa yang singkat.
7.
Sebenarnya, kestabilan politik dan perpaduan di Malaysia telah
lahir sebagai hasil daripada kesediaan semua pemimpin-pemimpin
dari pelbagai kumpulan di Malaysia untuk duduk berbincang, berunding
dan mencapai kata sepakat untuk melahirkan satu masyarakat yang
aman makmur, bersatu padu, cemerlang, gemilang dan terbilang.
Beberapa “perjanjian sosial” (social contract) telah
dimeterai dari masa ke semasa demi memperkukuhkan kestabilan struktur
Negara Malaysia. Keutuhan dan kemakmuran Negara ini juga, bukan
sahaja harus dipertahankan tetapi juga perlu diperkukuhkan.
8.
Justeru, semua pemimpin-pemimpin PBS harus mengambil ikhtibar
daripada hal ini. Sebagai sebuah parti yang mempunyai jumlah ahli
dan penyokong yang ramai, kita mempunyai satu tanggungjawab yang
besar untuk mendidik dan memimpin rakyat untuk turut menyumbang
ke arah pembinaan Negara dan khasnya pewujudan Bangsa Malaysia.
Maksudnya, ahli-ahli dan penyokong-penyokong kita harus diberi
pendidikan tentang latarbelakang sejarah dan perkembangan sosial,
ekonomi, politik dan undang-undang Negara Malaysia agar mereka
tahu tentang hak-hak dan tanggungjawab serta peranan yang mereka
harus mainkan dalam Negara ini.
Perjuangan
PBS
9.
Dalam PBS, amalan bersatupadu merupakan budaya yang telah serasi
dengan kita sejak Parti ini ditubuhkan. Walaupun telah menghadapi
banyak cabaran dan mengharungi arus perubahan dalam dua dekad
yang lalu, perjuangan PBS tetap konsisten dan bertambah mantap.
Perjuangan PBS ini sesungguhnya berteraskan kepada perpaduan dan
kesatuan. Maka adalah satu tanggungjawab kita bersama untuk memperkukuhkan
perpaduan dalam parti dan sekaligus membantu Kerajaan Malaysia
memantapkan Perpaduan Nasional. Sebagai sebuah parti yang berbilang-kaum,
kita berpeluang untuk menjadi model kepada Barisan Nasional dalam
memupuk perpaduan, semangat kerjasama dan toleransi serta sikap
kesederhanaan dalam perjuangan politik Negara.
10.
Kita berbangga kerana PBS turut mencorakkan sejarah politik Malaysia.
Sejak penubuhan PBS pada 5 Mac 1985, kita telah memainkan banyak
peranan samada secara langsung ataupun tidak langsung membantu
membentuk struktur politik Malaysia. Dengan pendirian yang tegas
dan teguh dalam beberapa isu tertentu (seperti menghormati hak-hak
dan maruah rakyat berbilang kaum, menentang kebanjiran pendatang-pendatang
tanpa izin), PBS telah dapat menyumbangkan idea-idea ke arah pembentukan
dasar-dasar Kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan
11.
Kita tidak lupa bahawa prestasi PBS dalam semua pilihanraya, baik
di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen, sejak
1985 adalah sangat memberangsangkan. Pengalaman politik PBS semasa
menjadi Kerajaan di Sabah dari tahun 1985 hingga 1994 dan menjadi
pembangkang dari tahun 1994 hingga 2001, telah memberikan kita
kematangan untuk berjuang bagi rakyat melalui proses politik.
Kini kita tahu bagaimanakah rasa pahit manis perjuangan politik.
Walaupun menghadapi banyak cabaran, baik dari ancaman luaran ataupun
dalaman, parti kita masih kekal dan terus teguh dan kukuh. Kesinambungan
perjuangan PBS dengan aspirasi dan harapan rakyat telah mewujudkan
satu kesepaduan politik di mana “rakyat perlukan PBS, PBS
perlukan rakyat”. PBS telah sebati sebagai wadah perjuangan
politik rakyat negeri sabah. Sebagai Presiden Parti, hakikat bahawa
PBS mendapat sokongan sebahagian besar rakyat amatlah membanggakan
saya dan kita semua.
12.
Dalam 19 tahun perjuangan PBS, kita telah melalui banyak ranjau
dan duri. Tetapi, kita masih berada di sini! Perjuangan kita belum
selesai…….
13.
Objektif-objektif perjuangan Parti, seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan, masih belum tercapai sepenuhnya. Bagaimanapun, kita
kini telah mendapat semangat baru. Pada 23 Januari 2002, PBS telah
menyertai semula Barisan Nasional (BN). Sejak dari itu, PBS telah
dapat merapatkan semula jalinan perpaduan dengan parti-parti komponen
lain dalam BN dan kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kini kita telah
menjadi keluarga BN dan diberi kepercayaan untuk turut bersama-sama
dengan pucuk pimpinan Kerajaan BN untuk membincangkan isu-isu
dan menyelesaikan isu-isu utama Negara.
14.
Usaha-usaha kita semasa Pilihanraya DUN dan Parlimen baru-baru
ini telah mendatangkan hasil. Berkat kesungguhan dan usaha kita
untuk mendekati rakyat, kita telah dapat membantu BN Sabah mencapai
kemenangan yang sangat besar. Dengan bantuan PBS, BN Sabah telah
menang 59 daripada 60 kerusi DUN yang telah dipertandingkan, dan
24 daripada 25 kerusi Parlimen. Saya ingin sekali lagi mengambil
kesempatan di sini untuk mengucapkan “Syabas dan Tahniah
kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian” yang telah bekerja
keras dan memastikan kemenangan gemilang ini.
15.
Kini PBS sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan. Ada beberapa
pemimpin kita yang telah menganggotai Kabinet. Dalam Kerajaan
Negeri, saya dan Timbalan Presiden, YB Datuk Yee Moh Chai, telah
dilantik ke dalam Kabinet Negeri. Kita dibantu oleh beberapa Pembantu
Menteri iaitu YB Datuk Radin Malleh, YB Jornah Mozihim, YB Jahid
Jahim dan YB Edward Yong Oui Fah, dan kita juga diberi perlantikan
empat (4) Setiausaha Politik di peringkat Kerajaan Negeri, antara
lain, termasuk YB Datuk Micheal Asang dan YB Herbert Timbon Lagadan.
Di Kabinet Pusat, kita diwakili oleh Timbalan Presiden, YB Datuk
Dr Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau
bertanggungjawab khusus untuk mengawasi dan mempromosikan dasar-dasar
yang mengukuhkan perpaduan nasional. Selain daripada itu, beliau
juga merupakan wakil dan suara kita untuk mengeratkan perpaduan
dengan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang berpengkalan di
Kuala Lumpur. Sekaligus, Dr Maximus juga telah kita tugaskan sebagai
jambatan kita untuk berurusan dengan Jabatan-Jabatan utama Kerajaan
di peringkat Persekutuan.
16.
Sebagai sebuah parti yang kedua terbesar di Sabah, ada di kalangan
tuan-tuan dan puan-puan yang mungkin berkata bahawa jumlah jawatan
ini “terlalu sedikit” dan “kurang kuasa”.
Percayalah tuan-tuan dan puan-puan bahawa perwakilan PBS dalam
Kerajaan ini memang kurang daripada yang dipohon, tetapi sekadar
itu yang diperolehi. Saya memang faham dengan harapan (expectations)
ahli-ahli dan penyokong-penyokong, dan saya dan kepimpinan parti
akan berusaha sedaya-upaya untuk mempertahankan hak-hak dan “kepentingan-kepentingan”
rakyat dan saudara-saudari di bawah naungan Kerajaan. Kami bersama
dengan pemimpin-pemimpin BN yang lain akan berusaha mencari jalan
untuk memastikan kedaulatan, keamanan dan kestabilan Negara dapat
dipertahankan serta kerukunan, kemakmuran rakyat dapat diperkembangkan.
Pada masa yang sama pucuk kepimpinan akan terus memperjuangkan
perihal keadilan dan kesaksamaan termasuklah dalam hal pengagihan
pembangunan dan peluang-peluang pekerjaan dan pentadbiran Negeri
dan Persekutuan.
Perjuangan
Belum Selesai – Tanggungjawab Semua
17.
Seperti yang dikatakan tadi, agenda perjuangan PBS masih belum
selesai. Kita perlu meneruskan perjuangan PBS. Untuk mencapai
kesemua ini, sokongan tuan-tuan dan puan-puan amatlah diharapkan
dan dihargai. Eratkanlah perpaduan di kalangan kita semua. Yakinlah
bahawa perjuangan PBS adalah masih tetap seperti dahulu dan sumbangan
kita semua diperlukan di dalam PBS. Tingkatkan jumlah keahlian
dan kualiti kepimpinan PBS di kawasan tuan-tuan dan puan-puan
masing-masing. Serapkanlah tenaga-tenaga muda dan mereka yang
berpendidikan tinggi ke dalam jawatankuasa-jawatankuasa kecil
di peringkat Bahagian dan Cawangan. Ini penting kerana cabaran-cabaran
di masa hadapan memerlukan kualiti kepimpinan yang jitu dan berwawasan.
18.
Dalam soal kestabilan politik dan perpaduan, adalah amat penting
bagi kita di dalam PBS untuk terus memperkukuhkan jentera Parti
di semua peringkat. Kita juga perlu melahirkan suasana yang terbuka
agar semua rakyat merasa selesa untuk bernaung di bawah payung
perjuangan PBS.
19.
Dalam pada itu, sememangnya masih banyak lagi perkara-perkara
dan isu-isu yang memerlukan perhatian dan tindakan kita semua.
Kerajaan dalam usaha menyelesaikan perkara dan masalah-masalah
yang akan saya bangkitkan sebenarnya adalah banyak dan luas. Atas
fakta ini, kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan
Negeri dan Persekutuan. Namun masih banyak yang perlu dilaksanakan.
Isu
Pendatang Tanpa Izin
20.
Salah satu isu yang terpenting ialah masalah pendatang tanpa izin
(PTI), yang telah merunsingkan rakyat di Negeri Sabah sejak tiga
dekad yang lalu.
21.
Kita mengucapkan syabas kepada Kerajaan Malaysia kerana telah
mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk menghantar pulang
pendatang tanpa izin melalui program pengampunan untuk mereka
kembali ke negara mereka masing-masing. Penangkapan dan penghantaran
seperti Ops Nyah II Bersepadu dan keputusan dan tindakan Kerajaan
ini dialu-alukan oleh rakyat Malaysia.
22.
PBS menyokong penuh semua tindakan yang diambil oleh Kerajaan
dan berharap serta menuntut ketegasan Kerajaan Pusat supaya bukan
sahaja mempertingkatkan usaha untuk mengurangkan kehadiran pendatang
tanpa izin tetapi menyelesaikan isu ini sepenuhnya. Ini kerana
kita akui bahawa Negeri Sabah merupakan negeri yang paling teruk
dilanda masalah pendatang tanpa izin. Kita juga akui bahawa terdapat
ratusan ribu warganegara asing di negeri ini yang masih tidak
dapat dipastikan identiti mereka.
23.
Apa yang perlu ditegaskan ialah kita perlu membezakan di antara
pekerja asing yang sah, pendatang tanpa izin dan pelarian. Pekerja
asing yang sah adalah rakyat dari negara lain yang memasuki negara
atau negeri ini secara betul mengikut undang-undang dan prosedur
imigresen untuk tujuan pekerjaan. Mereka bekerja di negeri ini
dan mempunyai permit kerja serta dijamin oleh majikan. Bilangan
mereka didaftarkan dan mereka mematuhi undang-undang negara ini.
Pendirian PBS ialah kita mahu pekerja-pekerja asing yang masuk
ke Malaysia haruslah mendapat permit kerja yang sah. Pada masa
yang sama kita mencadangkan supaya Kerajaan Malaysia mengambil
tindakan-tindakan yang khusus supaya tidak terlalu bergantung
kepada tenaga pekerja asing.
24.
Pendatang tanpa izin adalah golongan yang memberikan masalah kepada
negeri ini. Mereka masuk ke Negeri ini tanpa sebarang dokumen
perjalanan dan biasanya masuk melalui cara haram. Mereka diberikan
kerja tanpa sebarang permit kerja oleh pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab. Mereka juga menjalankan kegiatan yang sukar
dikesan oleh pihak berkuasa. Pendatang tanpa izin juga seringkali
terlibat dalam kes-kes jenayah dan masalah rumah setinggan.
25.
Selain daripada itu, kehadiran pendatang tanpa izin ini juga telah
mendorong segolongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab untuk
mengambil kesempatan memalsukan kad pengenalan dan dijual kepada
pendatang tanpa izin. Masyarakat seperti ini harus di jatuhi hukuman
yang seberat-beratnya kerana mereka lebih mementingkan wang ringgit
daripada keselamatan negara.
26.
Mengikut rekod polis, golongan ini merupakan kumpulan yang paling
banyak terlibat dalam kegiatan jenayah. Mereka mencabar undang-undang
negara ini dan mengancam keselamatan penduduk tempatan. Sebagai
warganegara Malaysia di Sabah, kita sangat prihatin dan bimbang
tentang kesan-kesan negatif akibat kehadiran Pendatang tanpa izin
di negeri kita ini.
27.
Menyedari akan bahayanya ancaman pendatang tanpa izin, banyak
pihak termasuk warga kota dan kampung menyuarakan kebimbangan
mereka. Pemimpin pelbagai pertubuhan telah meminta kerajaan mengambil
tindakan yang tegas terhadap pendatang tanpa izin. Lantaran itu
pihak keselamatan sedang melakukan operasi untuk membersihkan
pendatang tanpa izin dan mereka yang ditangkap dihantar balik
ke negara asal mereka.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan
28.
Dalam konteks apa sekalipun pendatang tanpa izin tetap pendatang
haram dan perlu meninggalkan negeri ini. Kita hanya boleh menerima
mereka yang memasuki negeri ini secara baik dan mematuhi undang-undang
negara ini.
29.
Ada beberapa statistik dan data telah dikeluarkan yang memberi
perangkaan betapa ramainya pendatang tanpa izin berada di negeri
Sabah. Ada anggaran mengatakan bahawa pendatang tanpa izin di
Sabah kemungkinan melebihi satu juta sedangkan penduduk Sabah
dianggarkan hanya 2.8 juta sahaja. Jika statistik ini benar, ini
bermakna hampir satu pertiga penduduk Sabah adalah pendatang tanpa
izin. Sekiranya tidak ada langkah-langkah yang wajar untuk mengatasi
masalah ini, maka tidak lama lagi jumlah pendatang tanpa izin
akan melebihi jumlah penduduk tempatan. Sememangnya kita tidak
mahu perkara seperti ini berlaku.
30.
Rakyat negeri Sabah sememangnya amat berterima kasih kepada pihak
polis, tentera dan sebagainya atas usaha mereka untuk mengurangkan
bilangan pendatang tanpa izin dan sekaligus mengurangkan kejadian
jenayah serta ancaman-ancaman lain yang ditimbulkan oleh kehadiran
pendatang haram. Kita berharap Kerajaan akan meningkatkan usaha
ini kerana tanpa tindakan seperti ini yang berterusan, amatlah
sukar bagi rakyat negeri kita khususnya, dan negara kita amnya
untuk menikmati kehidupan yang aman dan damai. Program yang dilaksanakan
dengan begitu berkesan pada tahun-tahun yang lalu seperti Ops
Nyah Bersepadu I, II dan III haruslah diteruskan demi untuk mencapai
matlamat “Sifar PTI” di negeri Sabah dengan kadar
yang segera.
Pemilikan
Tanah
Tuan Tuan dan Puan Puan
31.
Pemilikan tanah adalah satu perkara yang sangat penting kepada
setiap masyarakat. Isu pengeluaran geran tanah di kalangan penduduk
bumiputera tempatan di Sabah adalah satu perkara yang telah sekian
lama dipertikaikan. Sepertimana yang kita sedia maklum, sebilangan
besar masyarakat tempatan bumiputera di negeri ini terutama sekali
penduduk luar bandar belum lagi mendapat geran-geran tanah mereka
walaupun telah membuat permohonan sejak bertahun-tahun lamanya.
32.
Perkara lain yang berbangkit dengan pemilikan tanah juga ialah
berkenaan dengan pertindihan permohonan. Terdapat beberapa insiden
di mana tanah-tanah yang telah dipohon oleh penduduk kampung atau
tanah pemilikan melalui “Native Customary Rights”
sepertimana yang diperuntukkan oleh Ordinan Tanah tiba-tiba didapati
telah dimiliki oleh syarikat-syarikat besar. Sememangnya penduduk
kampung akur kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membawa
syarikat-syarikat besar ini ke muka pengadilan kerana kos perundangan
yang tinggi. Perihal tindakan ini seharusnya tidak berlaku memandangkan
rakyat tempatan mempunyai hak untuk memiliki tanah di Negeri ini
melalui adat resam.
33.
Oleh yang demikian, kepimpinan Parti Bersatu Sabah sekali lagi
akan terus menyarankan serta mengusul desakan kepada Jabatan Tanah
dan Ukur, supaya bukan sahaja mempercepatkan pengeluaran geran
tanah tetapi juga lebih peka kepada aspirasi dan kepentingan rakyat
tempatan berkaitan dengan permohonan tanah.
34.
Sepertimana yang kita maklum, pemilikan geran tanah adalah penting
supaya mereka boleh memperolehi hak ke atas tanah dan sekaligus
memiliki tanah mereka. Selain daripada itu dengan adanya hak ke
atas tanah, maka kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini seperti
pencerobohan atau perebutan tanah tidak akan timbul pada bila-bila
masa.
35.
Dalam era dunia perniagaan ini, kita juga harus melihat pemilikan
tanah daripada aspek perniagaan. Tentu sekali ada di kalangan
masyarakat sekarang yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan
sebagai landasan untuk maju dalam bidang keusahawanan. Oleh yang
demikian, dengan adanya geran tanah, mereka boleh mencagar tanah
tersebut untuk memohon kemudahan pinjaman bank. Melalui cara ini,
mereka boleh menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan dengan lancar
dan cekap kerana mempunyai modal yang mencukupi.
Perbadanan
Pembangunan Wilayah (Regional Development Authority)
36.
Dalam kesempatan ini juga kita membaharui saranan kita sebelum
ini kepada jabatan-jabatan yang berkenaan supaya mengadakan penyelidikan
yang terperinci dan membentuk satu pelan tindakan yang menyeluruh
untuk memajukan tanah tanah rakyat yang terbiar. Dengan adanya
program seperti ini, hasil-hasil pertanian yang diperolehi dari
tanah mereka dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
37.
Terdapat skim-skim pembangunan tanah yang dikendalikan oleh kerajaan
Persekutuan telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat terutama
daripada golongan termiskin di Semenanjung Malaysia. Ini adalah
melalui Perbadanan Pembangunan Wilayah seperti MADA, KEJORA, KESEDAR
dan lain-lain. Pihak kita telah pun mengenalpasti tidak kurang
tiga kawasan yang layak diterokai untuk rancangan pembangunan
seperti ini, termasuklah kawasan utara, Kudat, yang merangkumi
daerah-daerah seperti Matunggong, Kota Marudu dan Pitas, Wilayah
Kinabatangan dan Zon Pedalaman Keningau/Pensiangan/Tenom.
38.
Pembangunan wilayah merupakan keutamaan pembuatan dasar Kerajaan
di dalam perancangan pembangunan Malaysia sejak tahun 1970an lagi,
iaitu apabila Rancangan Malaysia Kedua (RM2) dilancarkan. Sejak
daripada itu, dasar pembangunan wilayah dalam kelima-lima Rancangan
Pembangunan Malaysia yang seterusnya telah menumpukan kepada pengurangan
jurang perbezaan pembangunan. Dasar pembangunan wilayah telah
diiktiraf sebagai satu strategi penting untuk membasmi kemiskinan;
membawa pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar; mengurangkan
perasaan terpinggir atau “deprivation” di wilayah-wilayah
tertentu; mempermudahkan perpindahan pekerja daripada kawasan
yang kurang sumber ke kawasan yang mempunyai potensi pertumbuhan
yang tinggi; dan juga mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan dan pekan
yang baru.
39.
Sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971, pembangunan
wilayah telah diberikan peranan yang besar dalam membantu mencapai
dua matlamat, iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan
menyusun semula struktur masyarakat. Untuk mencapai objektif ini,
beberapa agensi-agensi kerajaan telah ditubuhkan di beberapa peringkat
untuk melaksanakan beberapa program pembangunan wilayah. Di bawah
Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang baru, strategi-strategi pembangunan
wilayah telah dilaksanakan untuk mengurangkan jurang perbezaan
pembangunan di antara negeri-negeri, sekaligus memperbaiki agihan
pendapatan.
40.
Antara matlamat pembangunan wilayah yang penting ialah untuk mengintegrasikan
ekonomi secara progresif di Sabah dan Sarawak selaras dengan tuntutan
integrasi nasional dan untuk maksud membantu memperkukuhkan ekonomi.
Sabah dan Sarawak mempunyai tanah yang luas serta kaya dengan
sumber alam, yang mana kesemuanya boleh digunakan secara cekap
untuk merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi setempat dan pertumbuhan
ekonomi negara.
41.
Walaupun pendapatan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
telah meningkat dan adanya kewujudan prasarana, taraf kehidupan
di negeri-negeri ini masih lagi di takuk lama dan jauh ketinggalan
berbanding dengan negeri-negeri lain yang lebih maju. Di Sabah,
walaupun kadar per kapita KDNK telah meningkat dan mencapai tahap
purata nasional, keadaan sosio-ekonomi di Sabah masih memerlukan
perhatian yang terperinci. Menurut rekod Unit Perancang Ekonomi
(EPU), Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan
tertinggi di Malaysia!
42.
Setelah melihat peranan yang telah dimainkan oleh Perbadanan Pembangunan
Wilayah (RDAs) di Semenanjung Malaysia untuk membawa pembangunan
ke negeri-negeri dan wilayah-wilayah yang mundur, kita merasakan
bahawa strategi pembangunan seperti ini haruslah dilaksanakan
di Sabah, khususnya di wilayah-wilayah yang masih mundur seperti
kawasan-kawasan yang saya sebut tadi iaitu Wilayah Kudat, Kinabatangan,
Pedalaman (Keningau/Tenom/ Pensiangan).
43.
Pada masa ini, kita sedang dalam proses perbincangan dengan Kerajaan
Pusat untuk mengkaji kemungkinan mewujudkan satu atau dua agensi
pembangunan wilayah di Sabah. Oleh kerana masalah kekurangan kewangan
yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri dan kos yang tinggi untuk mewujudkan
agensi-agensi sedemikian, maka tanggungjawab itu hanya boleh dilaksanakan
oleh Kerajaan Pusat dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
44.
Apapun keputusan kerajaan mengenai isu ini, tujuan utama agensi
pembangunan wilayah ini ialah bagi kita untuk mendapatkan agihan
pendapatan yang saksama di samping satu jalan bagi kita untuk
mendapatkan kemudahan-kemudahan prasarana seperti hospital, sekolah,
pusat-pusat rekreasi, perumahan, jalanraya dan perkhidmatan-perkhidmatan
lain. Ia juga boleh memberi peluang-peluang untuk meningkatkan
taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat sekaligus merapatkan jurang
perbezaan pendapatan dan seterusnya menghapuskan kemiskinan. Strategi
pembangunan wilayah dan sumber-sumbernya ini bolehlah digunakan
oleh Kerajaan Negeri sebagai satu pendekatan untuk mewujudkan
pusat-pusat pertumbuhan yang baru untuk sektor pertanian, perkilangan
dan perkhidmatan di kawasan-kawasan yang mundur.
45.
Kita yakin Kerajaan Pusat akan merancang, merangka dan melaksanakan
program seperti ini di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-9 yang
akan datang. Sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar
Sabah, saya bertekad untuk bekerja sedaya upaya supaya perancangan
pembangunan seperti ini akan menjadi kenyataan untuk dinikmati
oleh masyarakat kita di luarbandar.
Pengangguran
dan Pewujudan Peluang-Peluang Pekerjaan
46.
PBS memang sedar bahawa kadar pengangguran di Sabah pada masa
ini agak tinggi, khasnya di luar bandar. Masalah pengangguran
bukan hanya di kalangan siswazah-siswazah universiti tetapi juga
berlaku di kalangan belia dan beliawanis lepasan sekolah menengah.
Ia juga bukan terhad di kampung-kampung tetapi juga di bandar-bandar
utama di seluruh Sabah. Masalah pengangguran ini dihadapi oleh
semua kaum.
47.
PBS juga sedar dengan kesan negatif yang timbul akibat daripada
masalah pengangguran ini. Masalah-masalah sosial seperti pengambilan
dadah, kegiatan minum arak berlebihan, lepak dan beberapa jenayah
lain ada kaitan dengan masalah pengangguran.
48.
Masalah pengganguran ini sememangnya kompleks dan bukan mudah
diatasi. Ini adalah masalah semua dan semua pihak harus berikthiar
untuk mencari jalan penyelesaian. Pihak Kerajaan, sama ada Kerajaan
negeri ataupun Pusat, memang mempunyai tanggungjawab untuk menangani
permasalahan ini. Terdapat keperluan untuk Kerajaan dan agensi-agensinya
untuk mewujudkan lebih banyak institusi-institusi latihan kemahiran
di bandar-bandar utama supaya lebih ramai belia-beliawanis dapat
memperolehi kemahiran-kemahiran khusus yang boleh membantu mereka
mendapatkan pekerjaan. Selain daripada itu, kerajaan dan agensi-agensinya
juga perlu mencari satu methodologi dan mewujudkan insentif-insentif
yang menarik bagi menggalakkan syarikat-syarikat swasta mengusahakan
industri-industri di seluruh pelusuk negeri Sabah, sekaligus mencipta
peluang-peluang pekerjaan yang baru.
49.
Adalah menjadi tanggungjawab kita di dalam PBS untuk membantu
Kerajaan menangani masalah ini. Antara perkara-perkara yang boleh
dilakukan oleh pejabat-pejabat bahagian ialah mengumpul data mengenai
belia menganggur di kawasan masing-masing. Selain dapat meningkatkan
kefahaman kita dengan permasalahan rakyat dalam soal pengangguran,
data-data ini juga boleh kita kemukakan kepada pihak-pihak berwajib
untuk tindakan selanjutnya. Kita juga boleh bekerjasama dengan
jabatan atau agensi-agensi Kerajaan ataupun dengan sektor swasta
dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) untuk menganjurkan ceramah-ceramah
kaunseling & bimbingan kerjaya, motivasi ataupun pembangunan
kerjaya.
50.
Dalam soal menangani masalah pengangguran ini, kita harus menggunakan
pendekatan serampang dua mata. Pertama, ialah melalui peningkatan
usaha-usaha Kerajaan untuk melaksanakan program-program baru untuk
menambahkan peluang-peluang pekerjaan. Kedua, semua pihak di peringkat
akar-umbi harus mencari jalan proaktif, kreatif dan berinovatif
untuk merancang program-program yang dapat membantu belia dan
beliawanis ini “berdikari” dan sekaligus keluar daripada
belenggu pengangguran.
51.
Sebenarnya, ada beberapa peluang yang boleh kita majukan di sekeliling
kita sepertimana yang ditekankan dalam “Halatuju”
Kerajaan Negeri Sabah, khususnya yang melibatkan pembangunan sektor
pertanian dan pelancongan. Saya menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan
supaya melihat di sekeliling kampung dan mengenalpasti potensi-potensi
pertanian dan pelancongan. Memang ada keperluan bagi kita untuk
mengusahakan tanah-tanah terbiar supaya mendapat manfaat, mencari
mekanisma moden untuk memajukan industri dan memahami kehendak-kehendak
pasaran.
52.
PBS memang peka terhadap permasalahan rakyat, maka saya menyeru
agar semua pemimpin PBS di peringkat bahagian supaya berusaha
meningkatkan keupayaan masing-masing untuk menyediakan perkhidmatan
(atau delivery system) yang efisyen dan berkesan. Ini penting
kerana PBS adalah parti rakyat dan saluran rakyat untuk menyuarakan
masalah mereka, dan oleh itu PBS mesti peka dengan aspirasi dan
harapan rakyat.
Isu
Alam Sekitar Dan Pelancongan
53.
Kita dalam PBS juga sedar bahawa Sabah adalah sebuah negeri yang
indah dan diberkati dengan berbagai kekayaan sumber alam. Semua
sumber yang ada di persekitaran kita ini boleh digunakan untuk
memberi keselesaan kepada kita semua. Alam sekitar yang indah
bukan sahaja sumber udara yang nyaman dan segar, keadaan alam
sekitar yang sihat dan indah juga boleh membawa kepada kemakmuran
ekonomi. Dalam isu alam sekitar ini, saya ingin menyarankan kepada
semua pemimpin PBS di peringkat bahagian dan cawangan untuk terus
bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk memastikan pemuliharaan
dan perlindungan alam sekitar. Misalnya, kita harus menjaga kebersihan
sungai dan tidak memusnahkan pokok secara sesuka hati, khasnya
di kawasan-kawasan tadahan air agar sumber dan kualiti bekalan
air kita tetap terjamin.
54.
Untuk maksud pelancongan, tuan-tuan dan puan-puan haruslah mengenalpasti
di kawasan masing-masing tempat-tempat menarik untuk dimajukan.
Ini penting kerana keadaan alam semulajadi kita sememangnya indah
dan jika diusahakan dengan baik, tempat-tempat ini boleh membantu
kita untuk menaikkan sumber pendapatan. Kita perlu sedar bahawa
semakin hari semakin ramai pelancong dari dalam dan luar negeri
yang berminat untuk berkunjung ke tempat kita. Sesungguhnya, selain
daripada tanah yang subur yang boleh diusahakan untuk pertanian,
industri pelancongan merupakan satu lagi sumber pendapatan yang
boleh dinikmati oleh masyarakat luar bandar melalui program-program
industri kecil dan sederhana seperti agri-pelancongan ataupun
eko-pelancongan.
ICT Dan Kefasihan Berbahasa Inggeris
55.
Salah satu lagi aspek kehidupan yang telah mengalami perubahan
ialah penggunaan teknologi, di mana masyarakat dunia tidak lagi
menggunakan teknologi usang tetapi sebaliknya menggunakan teknologi
moden. Penggunaan teknologi komputer yang meluas sejak 20 tahun
kebelakangan ini telah membuka banyak ruang dan peluang kepada
mereka yang pandai menggunakannya. Kini kita tidak lagi boleh
hidup tanpa komputer. Komputer telah menjadi satu alat yang penting
untuk kita mencapai cita-cita, dan memajukan industri, perniagaan
dan sebagainya. Kemahiran menggunakan komputer juga telah menjadi
satu keperluan dalam mendapatkan dan melaksanakan sebarang pekerjaan.
Penggunaan komputer ini akan bertambah hebat di masa depan.
56.
Oleh itu, kita tidak mahu ketinggalan dalam bidang ini. Kita tidak
mahu terpinggir dan menjadi mangsa kepada apa yang dipanggil sebagai
“digital divide”. Digital Divide ataupun jurang kemahiran
teknologi komputer ini, merujuk kepada komuniti ataupun kumpulan-kumpulan
yang terasing disebabkan kurangnya kemahiran menggunakan teknologi
maklumat berbanding dengan mereka yang mahir dengan perkembangan
dan kegunaannya. Jika kita ketinggalan, implikasi dan padahnya
mungkin tidak terkira. Lebih-lebih lagi di Sabah, yang terpinggir
atau terletak di luar lingkungan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
57.
PBS memang sedar dengan keadaan ini. PBS akan memastikan melalui
Kerajaan Barisan Nasional bahawa tiada warganegara di Sabah yang
tidak celik dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ini.
Kita akan meminta kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya lebih
banyak program pembelajaran ICT dapat diperkenalkan di luar bandar.
PBS akan berhubung dengan pihak-pihak berwajib untuk memastikan
setiap sekolah diberikan kemudahan-kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar
mendapat pendidikan dan pendedahan dalam bidang ini dan memastikan
masa depan yang lebih terjamin.
58.
Saya sangat gembira dengan usaha YB Datuk Dr Maximus Ongkili,
yang telah berkhidmat sebagai Penasihat Sains dan Teknologi kepada
Ketua Menteri, telah membolehkan Kerajaan Negeri Sabah merancang
dan melaksanakan satu program ICT desa di Kundasang. Kita sangat
berharap agar program-program seperti ini dapat diperluaskan di
seluruh Negeri di masa akan datang.
59. Satu lagi yang seringkali merisaukan kita ialah tahap kefasihan
berbahasa Inggeris, terutamanya di kalangan generasi muda. Kita
kini tinggal dalam perkampungan dunia (global village), di mana
setiap orang di dunia ini tidak lagi berjauhan dan tinggal bersendirian
tetapi terikat dalam kehidupan tanpa sempadan di mana setiap orang
harus berkomunkasi di antara satu sama lain. Bahasa pertuturan
dunia ini kebanyakannya Bahasa Inggeris terutamanya yang berkaitan
dengan urusan perniagaan, perdagangan, komunikasi dan penggunaan
teknologi.
60.
Kita tiada pilihan lain dalam hal ini. Sikap yang mengatakan bahawa
“saya boleh hidup walaupun tidak pandai berbahasa Inggeris”
merupakan satu sikap yang salah serta merugikan dan sesungguhnya
harus diperbetulkan.
61.
Ada suara-suara yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris atas
alasan perasaan bangga dan meluasnya penggunaan bahasa kebangsaan.
Kita sependapat dengan pemimpin-pemimpin negara yang lain bahawa
penguasaan Bahasa Inggeris tidak bermakna kita melupakan penggunaan
Bahasa Kebangsaan ataupun bahasa ibunda kita sendiri.
62.
Memandangkan pentingnya penggunaan Bahasa Inggeris ini, saya ingin
merayu kepada semua pihak untuk menyokong usaha-usaha kerajaan
untuk menekankan kepentingan Bahasa Inggeris dan meningkatkan
tahap kefasihan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.
Saya percaya, melalui kefasihan kita berbahasa Inggeris rakyat
negara kita akan mampu bersaing di persada antarabangsa. Kini
sudah terbukti bahawa kebolehan rakyat Malaysia menguasai Bahasa
Inggeris telah membantu menarik kemasukan pelabur-pelabur asing
ke negara ini sekaligus mengukuhkan kemakmuran ekonomi negara.
Saya inginkan supaya ahli-ahli PBS ialah antara ahli-ahli politik
yang paling fasih menggunakan Bahasa Inggeris dalam pertuturan
harian mereka.
Cabaran-Cabaran
& Pembelajaran Organisasi
63.
Sebenarnya, cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah parti politik
memang banyak. Perjuangan politik kita bukan sahaja dipengaruhi
oleh faktor-faktor luar negeri tetapi juga oleh perubahan-perubahan
dinamik yang berlaku dalam negara. Paradoksnya ialah kesemua perubahan
ini boleh mendatangkan kesempitan dan kesempatan. Ia boleh mendatangkan
kerugian dan kemudaratan, dan dalam masa yang sama boleh membawa
peluang-peluang baru dan keuntungan. Jadi bergantunglah kepada
cara bagaimana kita menguruskan organisasi kita sejajar dengan
perubahan di persekitaran.
64.
PBS tidak harus berdiam diri dan mengharapkan “yang bulat
datang bergolek, yang pipih datang melayang”. Sebagai pemimpin
parti PBS yang menerima mandat popular dari rakyat, kita semua
harus proaktif dalam merencanakan agenda-agenda kita selaras dengan
objektif-objektif perjuangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Parti. Kita harus sentiasa berusaha menambah ilmu dan kepakaran
dalam semua aspek kepimpinan, perancangan, kemahiran berkomunikasi
dan bagaimana memobilisasikan sumber-sumber yang ada.
65.
Yang nyata PBS harus sentiasa menjadi sebuah “Learning Organization”
dan setiap pemimpin, ahli dan kakitangan harus bersedia menerima
idea-idea baru demi meningkatkan keupayaan organisasi PBS ini.
Kita semua harus menjadi peribadi yang dinamik. Kita tidak boleh
mementingkan kepentingan peribadi tetapi kita harus berbangga
sekiranya kita dapat menggunakan jentera PBS ini untuk memberi
perkhidmatan kepada rakyat agar semua dapat meningkatkan kualiti
kehidupan.
66.
Untuk menangani semua cabaran-cabaran ini, kita harus bersifat
terbuka dan sentiasa bersedia mendengar idea-idea dari pihak-pihak
lain. Kita juga harus berusaha menambahkan keahlian parti dan
menggalakkan mereka yang mempunyai kelayakan akademik yang baik
dan mempunyai pengalaman yang luas untuk menyertai PBS.
67.
Ini penting kerana PBS juga tentu akan mengalami banyak perubahan,
termasuklah dalam hal penggantian barisan kepimpinan pada masa
akan datang bila sudah tiba masanya itu berlaku. Kita mahu supaya
mereka yang muda dan baru menceburkan diri dalam politik dapat
dibimbing supaya mereka dapat menjiwai perjuangan murni PBS. Kepada
yang veteran, janganlah bersikap terlalu ‘konservatif”
sehingga sukar untuk didekati. Jadilah seperti “sifu”
Shaolin Kung Fu, yang sentiasa bersedia membimbing dan menurunkan
ilmu kepada murid-muridnya.
68.
Di dalam PBS ini, kita amat berbangga kerana terdapat banyak bakat
yang kita ada. Barisan Ahli Majlis Tertinggi adalah terdiri daripada
mereka yang matang dalam politik dan komited dengan perjuangan
parti. Sebagai Presiden, saya suka untuk menasihatkan agar kita
semua bersatupadu, bekerja secara berpasukan dan sehati sejiwa
dalam perjuangan. Kalau adapun terdapat sebarang perbezaan pendapat
yang mana sesuatu yang lumrah dalam mana-mana organisasi, kita
haruslah bijak dalam menanganinya. Seperti kata pepatah, “bila
kita menarik rambut dalam tepung, baik perlahan-lahan supaya rambut
tidak putus dan tepung tidak berkecai”.
69.
Sesungguhnya PBS adalah sebuah parti yang dinamik dan merupakan
“learning organization” dan tidak takut kepada apa
juga perubahan yang berlaku dalam persekitarannya. PBS teguh dalam
perjuangan dan sentiasa bijak menyesuaikan diri dengan perubahan
semasa. PBS rela bersaing dengan organisasi lain dari segi kemahiran,
mutu kepimpinan dan sumbangan-sumbangan idea kepada Kerajaan.
Oleh itu, kita semua haruslah teguh dalam perjuangan dan komited
terhadap tanggungjawab masing-masing demi mencapai matlamat perjuangan
parti.
Selamat
Terus Berjuang
70.
Ucapan yang sepanjang ini, memang disediakan dengan sedemikian
rupa supaya di dalam PERHIMPUNAN AGUNG PBS ke-19 ini, kita akan
berpeluang untuk memahami semua aspek persekitaran kehidupan kita.
Perbincangan mengenai isu-isu yang disebutkan itu bukan sahaja
akan menambahkan pengetahuan kita masing-masing tetapi ini sudah
tentunya akan membantu kita dalam merancang apakah bentuk dan
program pembangunan yang perlu kita laksanakan di kawasan masing-masing.
71.
Saya ingin menjemput supaya tuan-tuan dan puan-puan dapat merenung
dan mengkaji isi kandungan ucapan ini dan membahaskannya. Apa-apa
yang kita bincangkan di PERHIMPUNAN AGUNG ini akan menjadi sebahagian
daripada perancangan PBS dan idea-idea yang bernas yang datang
daripada tuan-tuan sekalian mungkin akan diserapkan dalam perancangan
pembangunan negeri.
72.
Ayuh, mari kita terus berjuang dengan lebih gigih dan komited
kearah membantu kerajaan Barisan Nasional merealisasikan Malaysia
yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
73.
Dengan kata-kata demikian, saya dengan harapan yang tinggi mengishtiharkan
Perhimpunan Agung PBS kali yang ke 19 ini dimulakan dengan rasminya.
Dan untuk menguatkan lagi semangat perjuangan kita, marilah kita
semua berdiri dan melaungkan tiga kali cogankata perpaduan parti
kita:
BERSATU! BERSATU! BERSATU!
Sekian,
terima kasih dan selamat bersidang.
|